Khamis, 1 Januari 2009

KBCL-10 cipta sejarah penganjuran aktiviti belia di Mission Sook

NABAWAN, KBCL ( Khemah Belia Candle Light ) peringkat Mission Sook, merupakan satu-satunya aktiviti yang dapat mengumpulkan para belia dari seluruh Mission Sook dengan penyertaan dari 5 buah zon iaitu zon Sook, zon Nabawan, zon Tulid, zon Rancangan Belia Tiulon dan zon Mansiat.

Seramai 623 orang belia telah berkumpul selama tiga hari bermula dari 04 – 06hb Disember 2008 di Gereja St.Bede, Nabawan dengan tema ”Ekaristi Teras Keluarga Berbudaya Menyembah Tuhan, Membentuk Iman dan Bertanggungjawab Sosial” iaitu tema pastoral Keuskupan Keningau. Penganjur bagi KBCL ini ialah team pelaksana induk/pusat (MOT) iaitu AJKT KBK MPMS yang dipengerusikan oleh Sdra Ronny Gagit selaku pengerusi KBK Mission Sook, dan team pelaksana tempatan (LOT) selaku tuan rumah KBCL-10 yang dipengerusikan oleh Sdra Hadoram Sufi.

Bermula dari tahun 1999 hingga tahun 2002 nama untuk aktiviti ini hanyalah Carol by Candle Light peringkat Mission Sook, dan hanya dikhaskan untuk pengutusan karoles. Pada tahun 2003 Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong telah mengumumkan Carol By Candle Light digantikan nama kepada Khemah Belia Candle Light peringkat Mission Sook, kerana Bapa Uskup melihat kehadiran belia pada masa itu mencecah 800 orang.
Bukan hanya melihat kepada sambutan kehadiran para belia dari seluruh Mission Sook, tetapi hanya inilah masa untuk para belia Mission Sook berkumpul bersama dalam aktiviti seperti ini, kerana majoriti belia yang menyertai aktiviti ini ialah belia yang berumur 13 hingga 19 tahun iaitu belia yang masih bersekolah.

KBCL-10 telah mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya Khemah Belia Candle Light telah disingkatkan kepada KBCL untuk memudahkan belia dapat menyebut dengan mudah dan senang untuk diingati. Dengan ilham dari Roh Kudus, buat pertama kalinya juga, KBCL dapat dijalankan dengan adanya pengisian untuk aktiviti Khemah Belia seperti malam unggun api, penayangan video dan debat, kerana selama ini Khemah Belia hanya menjadi sebutan sahaja tetapi pengisian untuk aktiviti Khemah Belia tidak pernah dijalankan. Hanya pengisian untuk aktiviti Candle Light sahaja yang kerap kali dijalankan setiap tahun.

Aktiviti KBCL-10 pada hari pertama yang bertemakan ”Berbudaya Menyembah Tuhan”, dimulai dengan Perayaan Ekaristi pembukaan tepat jam 5.00 petang oleh Rev Fr.David Mamat selaku paderi yang bertugas di Mission Sook. Dalam homilinya Fr.David mengingatkan kepada para belia bahawa pentingnya membina rumah diatas batu dan bukannya diatas pasir iaitu iman yang dibina di atas dasar yang teguh berpandukan pada ajaran injil untuk melawan segala hujan dan badai dunia di zaman moden yang sangat mencabar.

Perarakan obor dari 5 zon, doa pembukaan dan pemberkatan api oleh Fr.David Mamat, seterusnya pembakaran obor sebagai simbol semangat belia Mission Sook seperti api yang menyala-nyala untuk melayani Yesus, serta nyanyian lagu tema KBCL ”Cahaya Penyelamatan-Nya” telah memulai Malam Unggun Api KBCL-10. Aktiviti-aktiviti pada malam tersebut ialah seperti pujian dan penyembahan, penayangan video SYD-2, Ranau 2008 dan disusuli dengan persembahan tematik dari 5 buah zon.

Hari kedua KBCL bertemakan ”Membentuk Iman”. Aktiviti dimulai dengan doa pagi yang dipimpin oleh Sr. FSIC, disusuli dengan penayangan video tentang Mukjizat Ekarisiti untuk menyedarkan para belia bahawa Yesus benar-benar hadir didalam perayaan Ekaristi melalui Tubuh dan Darah-Nya. Dengan penayangan video tersebut, sekaligus dapat mempersiapkan diri para belia untuk bersama-sama dalam Adorasi/Saat Teduh yang dipimpin oleh Katekis Joseph Edward.

Selepas Adorai/Saat Teduh para belia berpeluang menyaksikan debat yang bertajuk ”Iman Belia Katolik Mudah Rapuh” yang telah menghangatkan suasana dengan hujah-hujah dari pihak pencadang dan pembangkang. Debat ini dikendalikan oleh Tim Pelayanan Belia Keuskupan Keningau yang diketuai oleh Sr.Maria Magdalena Kopong FSIC.

Selepas makan tengahari, para belia mendengar katekesis tentang Pelayanan Karoling untuk mengetahui tentang Mesej karoling yang sebenar, bagi mempersiapkan diri para belia untuk menjadi pewarta lagu-lagu khabar gembira kelahiran Tuhan Yesus. Katekesis telah disampaikan oleh saudara Fred Juppilin iaitu mantan Pengerusi KBK Mission Sook.

Carol By Candle Light telah dijalankan pada malam tersebut dengan persembahan lagu-lagu adven dari setiap KUK, lakonan Kelahiran Yesus zaman moden oleh KBK Gereja Roh Kudus Sook dan kelahiran Yesus zaman dahulu oleh KBK St.Petrus, Alab Lanas. Perkongsian pengalaman karoling dari wakil Belia oleh Sdri Felecia dari KBK KUK Santa Maria Ratu Rosari, Kiulu Baru dan wakil umat oleh Katekis Alexander James dari KUK Pamuntarian, Nabawan.

Hari terakhir KBCL bertemakan ”Bertanggungjawab Sosial” dimulai dengan Pujian Pagi oleh Sr....FSIC. Perayaan Ekaristi Pengutusan telah bermula tepat jam 9.00 pagi oleh Rev Fr.David Mamat. Dalam homilinya Fr.David mengingatkan kepada para belia bahawa persiapan hati lebih penting iaitu persiapan rohani yang berpusatkan Kristus daripada persiapan luaran yang lebih kepada persiapan duniawi seperti makan minum, pakaian dan pesta untuk menyambut Krismas. Selepas homili semua peserta dari 21 KUK telah diutus dalam perayaan Ekaristi untuk menjadi pewarta khabar gembira kelahiran Tuhan Yesus melalui lagu-lagu adven dan krismas di seluruh Mission Sook.


Di akhir perayaan Ekaristi sesi ucapan oleh pengerusi LOT Sdra Hadoram Sufi, Tim Pengerusi MOT Sdra Bodrick Paulus Aip mewakili Pengerusi MOT Sdra Ronny Gagit dan ucapan diakhiri oleh Rev Fr.David Mamat. Dalam ucapannya, Fr.David telah mengumumkan tuan rumah KBCL-11 tahun 2009 iaitu zon Sook bertempat di Gereja Roh Kudus Sook.

Tuan Rumah KBCL-11, Gereja Roh Kudus Sook

Tiada ulasan: